Ia adalah tendon yang menolak kaki ke depan ketika berjalan dan berlari. Ia juga dikaitkan sebagai Achilles Tendinopathy disebabkan kajian yang mendapati punca utama ialah tisu yang merosot dan hilang struktur asal serat tisu.
Selain itu, ia boleh terjadi pada bahagian lekat tendon dengan tulang tumit atau pada pertengahan tendon, selalunya empat sentimeter (sm) daripada atas tumit. Proses penyembuhan tendon Achilles selalunya perlahan kerana kawasan itu mempunyai rangkai bekalan darah yang kurang.
Tendonitis akut selalunya mempunyai ciri sakit yang terjadi secara berperingkat di bahagian belakang buku lali, betul-betul di atas tulang tumit. Ini terjadi dalam tempoh beberapa hari. Sakit biasanya terjadi pada masa awal latihan dan berkurangan selepas latihan berlangsung.
Sakit juga berkurangan dengan berehat daripada melakukan aktiviti latihan berkenaan. Kesakitan akan terasa jika bahagian tendon Achilles ditekan dengan jari.
Tendonitis kronik boleh terhasil daripada tendonitis akut jika ia dibiarkan tanpa rawatan atau jika ia tidak mendapat rehat secukupnya. Sukar dirawat terutama bagi atlet yang lebih tua & menderita lebih kerap.
Achilles tendonitis ialah satu kecederaan yang disebabkan oleh penggunaan yang berlebihan, terlalu banyak latihan dalam waktu terlalu singkat adalah asas kecederaan ini.
Namun begitu, faktor lain yang boleh menyebabkan kejadian itu ialah peningkatan aktiviti yang berlebihan, kurang masa rehat di antara satu latihan, penukaran kasut dan permukaan padang latihan serta otot betis yang lemah, pendek dan tegang.
Berlari mendaki bukit boleh menyebabkan tendon Achilles merenggang melebihi biasa ketika setiap langkah. Keadaan itu menyebabkan otot betis keletihan lebih cepat daripada biasa.
Kerap memakai kasut tumit tinggi boleh menyebabkan otot betis dan tendon Achilles menjadi pendek. Apabila melakukan latihan dengan menggunakan kasut dengan tapak rata, tendon akan merenggang melebihi tahap normal, yang mana ini memberikan bebanan berlebihan pada tendon Achilles.
Rawatan awal untuk kesakitan disebabkan oleh Achilles tendonitis ialah berehat daripada aktiviti yang menyebabkan penyakit Achilles dan terapi sejuk ais.
Selain itu, amalkan pemakaian alas tumit dalam kasut untuk menaikkan tumit kaki dan mengurangkan bebanan renggangan pada tendon Achilles. Ini kaedah sementara sehingga tendon Achilles sembuh.
Pastikan juga kasut sukan yang dipakai sesuai dengan aktiviti sukan dan bentuk kaki anda. Selepas itu, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada pakar.
Pemeriksaan dilakukan untuk memastikan punca dan faktor penyebab terjadinya kecederaan dan saranan penggunaan alat ortotiks atau pertukaran teknik latihan akan diberikan jika perlu.
Pakar akan memberi ubat anti radang untuk mengurangkan sakit. Penggunaan pelekat pada bahagian belakang kaki (betis) mampu memberi sokongan pada tendon Achilles.
Jika kecederaan dialami adalah pada tahap teruk, cas plaster mungkin perlu dipasang pada kaki untuk merehatkan kaki dan tendon berkenaan.
Penggunaan terapi ultrasound akan dilakukan oleh ahli fisioterapi untuk merangsang proses penyembuhan. Satu program rehabilitasi perlu dirancang untuk memastikan proses penyembuhan berlaku sempurna dan atlet dapat kembali bersukan dalam tempoh ditetapkan.
Sesetengah pakar akan memberikan suntikan steroid pada bahagian tendon yang radang atau tercedera. Bagaimanapun, suntikan terus ke dalam tendon tidak digalakkan kerana sesetengah pakar percaya, suntikan steroid boleh meningkatkan risiko tendon terputus.
Imbasan menggunakan Pengimejan Magnetik Resonans (MRI) atau ultrasound dapat membantu mengenal pasti tahap radang dan kecederaan tendon Achilles.
Kewujudan tisu parut dan tisu nekrotik di dalam tendon Achilles dapat dikenal pasti dengan MRI. Pembedahan akan dilakukan jika rawatan secara konservatif gagal menyembuhkan Achilles tendonitis. Ketika pembedahan, tisu parut dan tisu nekrotik akan dibuang sehingga tinggal tisu normal. Kesan pembedahan ini akan merangsang proses penyembuhan lebih berkesan.
Jika kecederaan ini mendapat rawatan dari peringkat awal lagi, proses penyembuhan selalunya dapat berlaku dengan baik. Penting untuk seseorang itu melakukan rehabilitasi pada tendon Achilles dengan betul selepas tendon sembuh jika kita mahu mengelak ia berulang.
Cara elak Archilles Tendon
sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Sakittumitperlurawatanawal/Article
No comments:
Post a Comment